Islam & Demokrasi: Kejayaan IRF Mendidik Anak Muda

Dr. Farouk Musa

IRF atau Islamic Renaissance Front ditubuhkan pada tahun 2009 ialah gerakan intelektual memfokuskan pemerkasaan belia dan perbincangan Islam yang terkehadapan menyentuh nilai-nilai demokrasi, kebebasan dan keadilan sosial dengan penampilan Ulama’, ahli akademik dan pakar dalam disiplin ilmu masing-masing. Beberapa faktor utama mengapa anak muda cenderung untuk terlibat dengan program dan diskusi IRF, antaranya:

  1. Perbincangan Politik Islam Segar

Tidak seperti pengajaran di sekolah mahupun universiti tempatan, IRF mampu mengupas hujah teori dan realiti semasa dengan penerangan yang segar mengikut konteks, sesuai dengan keadaan masyarakat dunia berbilang budaya, adat dan sirah. Perbincangan politik Islam di institusi pendidikan tempatan apatah lagi di masjid dan surau agak suram dan tidak menjawab kehendak realiti, walaupun masyarakat Islam sendiri telah jauh membangun berlatarbalakangkan cabaran geo-politik antarabangsa.

  1. Pendapat dan Persoalan Dibuka Seluas-luasnya

Kebanyakan anak muda hari ini mempunyai pendidikan tinggi dan terdedah dengan maklumat tanpa sempadan di media sosial. Perubahan polisi atau arus politik yang berlaku di negara Islam dan bukan Islam sedikit sebanyak menimbulkan tanda tanya, bolehkah perubahan tersebut berlaku di negara ini untuk memartabatkan keadilan dan keamanan? IRF cuba menjawab isu-isu ini dengan membuka ruang kepada anak muda untuk bertanya walaupun pertanyaan berbentuk “sensitif” bagi kebanyakan ahli agama atau akademik. Inilah yang mematangkan lagi perbincangan Islam dan bertepatan dengan sifat “ingin tahu” anak muda.

  1. Bosan Dituduh Sesat oleh Agamawan

Apabila bertanya tentang sekularisme dan hak asasi manusia kepada para agamawan, maka kebanyakannya akan melenting dan pantas menutup pintu perbincangan. Ada pula yang memberi label “sesat” atau “liberal” sekiranya mendengar perkataan-perkataan kononnya berasal dari barat. Tanpa sedar mereka telah memberikan hak mutlak kepada “barat” untuk memonopoli perbincangan semasa. Senario ini membuatkan anak muda lebih mencari dan mendalami ilmu politik agar masyarakat tidak mudah termakan dengan label “Islamik” bulat-bulat tanpa berfikir dahulu. Adalah mustahil untuk memenjarakan kemampuan berfikir seseorang.

Ayuh, kita jadi muslim kaya dengan ilmu pengetahuan dengan berfikir, jangan kerana jahil ilmu kita saling kafir mengkafir. Seperti firman Allah yang berulang dalam banyak ayat: “Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu supaya kamu berfikir”.

Sila layari http://irfront.net/post/category/articles/articles-malay/ untuk bacaan dalam Bahasa Melayu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *